Monday, September 04, 2006

Pongang-pongang..(pinjam Pak Shahnon)


Diam tak diam cuti musim panas berakhir...muncul kembali sesi pengajian dalam alpa aktiviti yang tidak begitu produktif (berangan & memeram telur)..Diri kini kembali berhadapan dengan ujian "menarik" iaitu menuntut ilmu dalam bahasa asing di bumi yang tak terpernah kuberhajat untuk kukunjung. Memang aku telah sukses pada tahap 2 dalam bahasa mereka namun itu hanya mampu untuk aku meneruskan rutin seharianku. Tentunya bila mempelajari jurusanku iaitu perfileman, cikgu nantinya takkan bertanya sama ada sudah makan atau belum...hujung minggu kamu buat apa? Nombor telepon kamu berapa? Berapa harga ke semuanya..dll..
Perit tuntut ilmu di peringkat universiti dalam perbendaharaan kata kanak-kanak tadika aku lihat dari sudut seindah mungkin. Ini kerana mengenangkan rezeki tuhan yang memakbulkan cita-citaku untuk belajar di luar negara(aku tidak pernah menetapkan pilihan tempat pengajianku; sekadar bermimpi agar mengembara seketika dari tanahair) biarpun permintaan aku itu tidak dimakbulkan segera. Impian ini berputik atas dasar jaki terhadap kakakku yang belajar di UK. Lebih 10 tahun berlalu, impian itu baru terlaksana setelah jenuh kena tendang dan lompat universiti, ke dua adikku selesai persekolahan, kakakku dah kembali bawa master dan juga telah menikah, ayahku telah pencen dan kekasihku telah bergelar penerbit rancangan hiburan(cuma aku yang tak habis-habis mengaji...).
Derita yang begitu ketara adalah perpisahan dengan buah hati pengarang jantung hanya Allah yang mengerti (mengapa hanya buah hati yang dihighlightkan dan bukannya keluarga?..isk..muda-mudi sekarang ni..!). Ini semua aku lakukan kerna memenuhi tuntutan zaman yang berkehendak sijil, diploma ijazah dan apa-apa kertas senilai dengannya yang menandakan simbol akan pencapaian seseorang itu dalam pengajian. Ternyata aku tak mampu menafikan sistem ini...kerana aku juga mahu dianggap “berguna” biarpun tanpanya hidup masih boleh terus...Mungkin(peratusnya tinggi) tanpa kertas simbolik itu cerita kehidupan akan jauh berbeza dan pastinya dilingkari kesusahan yang mengintai sama ada daripada orang lain ataupun infioriti kompleks sendirian. Mengertilah...aku lakukan ini bukannya kerana aku pentingkan diri sendiri!(...pengorbanan demi perasaan cinta akan sinema.)
Getir rindu, ketidak betah akan makanan(tak serasi dengan tekak sambal belacanku) dan yang terutama, kemelut bahasa; terpaksa aku retorikkan diri sendiri untuk melihat dari sudut sepositif mungkin. Bukankan mengikut teologi Islam, kata-kata itu merupakan suatu doa? Dengan itu aku boleh mengimpikan suatu yang indah dalam saat kemuraman siri sketsa hidupku.
Tapi cakap memang senang Fatimah! (dialog Sayang Salmah kalau tak silap). Untuk merealisasikan kata-kata merupakan perkara yang sama sekali berbeda...seperti Muslimin dan Muslimat yang mampu menjawab dengan konfiden rukun Islam(shadah, sembahyang, puasa, zakat & haji)...tapi berapa ramai yang boleh melaksanakan tuntutan Islam ini dengan penuh tawaduk...(aku tak terkecuali)...
Begitu juga dengan Merdeka...memang mudah untuk melaungkan ungkapan Merdeka! bersama-sama tatkala malam 31 Ogos saban tahun; yang boleh mengakibatkan meremang bulu roma saat tempik laung itu menerjah gegendang telinga...tapi berapa ramai yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan dan telah merdeka sepenuhnya? Bahasa kebangsaan masih di takuk lama...malah semakin jatuh merundum (lihat laman web channel 8...tak ada versi melayu pun..!) ...nilai positif budaya (Melayu, Cina mahupun India) semakin terhakis kerna diasak hebat oleh nilai dan tuntutan hidup yang kononnya moden. Pemimpin masih berterusan menipu rakyat dalam sandiwara pentas politik dan rakyat masih tak sedar yang diri terus menerus dibohongi...tv stesen terus menerus meracuni minda rakyat (Melayu amnya) dengan propaganda kerajaan, sensasi realiti tv dan isu cerita perkahwinan artis yang dibawakan secara langsung ke kaca tv.

Tapi yang pasti esok ada kelas... aku jauh dari tanah air...jauh dari keluarga...jauh dari kekasih - cuma moga-moga tidak jauh mana dari agama dan nilai murni budaya yang diwarisi...dalam kesepian di bumi yang masih tebal eleman fasisme yang dilatari lanskap restoran yang menyajikan babi hampir di mana-mana..bertemankan kimchi dan soju.
p/s - argh..3 bulan lagi sebelum kembali bercuti...(Siti dah mula berisi entah tidak?) Yang..kita bila lagi nak merasa macam Siti - harap jangan jadi nasib Mawi sudahlah...ada rezeki jadila kot ekk, amin..!