Thursday, July 27, 2006

Bulan Merdeka Menjelma Lagi..


Sambutan Hari Kemerdekaan 2006 dengar-dengarnya tidak akan diadakan oleh pejabat kedutaan Malaysia Korea berikutan kehabisan peruntukan kewangan. Ini adalah suatu khabar angin yang pastinya mengecewakan para penagih makanan percuma tanahair di perantauan.
Duta dan penasihat dikatakan berlainan haluan dan ini menjejaskan perlaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan negara yang lebih mundur dari kita (Vietnam, Kemboja, Laos cukuplah sekadar contoh di kalangan negara tetangga) ; mampu meraikan hari terpenting dalam kalender negara masing-masing di hotel-hotel mewah. Bukanlah tujuan di sini untuk membandingkan negara kita dengan negara lain tetapi atas dasar kewarasan akal fikiran perbandingan patut jua dilakukan.
Jika sesebuah negara itu tidak membuka mata dan melihat apa yang dilakukan oleh negara lain, ya hidup masih terus; naman tahap kehidupan negara itu hanyalah di takuk yang sama. Bukankah setiap hari kita bangun daripada tidur dan berharap agar hari yang baru akan lebih baik daripada pada semalamnya. Tapi persoalannya di sini adalah bagaimana jika individu itu terus menerus tidur. Azam, hasrat mahupun masa depan pastilah berjelaga sebab masih belum terjaga..
Pergolakan politik dalaman tidak hanya berlaku di tanah air, malah situasi yang mengecewakan ini turut berlaku di luar negara. Ini adalah sekelumit polemik yang diketahui. Bayangkan betapa banyaknya perkara yang tidak kita ketahui disembunyikan oleh kerajaan pemerintah. Nah pastinya apa yang dipaparkan akan pasti dilihat sebagai anasir subversif yang cuba memecah-belahkan kestabilan politik tanahair. Tetapi rasanya tidak ada salah sekiranya mengejutkan rakan yang sedang lena supaya dapat sama bangun dan melihat pelangi mahupun kilat di hari baru daripada sudut yang berlainan. Sekiranya si polan itu mengantuk dan ingin terus tidur, tidak ada paksaan malah patut kita selimutkan tubuhnya agar selesa tidurnya. Moga-moga mampu berhasil mimpi yang indah2 (mimpi basah, mimpi di patuk ular, mimpi kahwin dgn anak raja), kerana hidup tatkala ini sukar untuk kita membezakan realiti dan fiksi rekaan pemerintah.

p/s - mimpikan berada di tengah keramaian sorak-sorai pagi merdeka di Stadium Merdeka 1957. Syabas untuk individu yang melaksanakan tanggungjawab terhadap negara sepanjang 50 tahun kemerdekaan biar pun ada individu yang dilihat sebagai penentang. Sebabnya. penentang juga memiliki perasaan cinta. Selamat Menyambut Hari Kemedekaan !