Tuesday, November 21, 2006

Entahlah...

Kadang kala benda yang kita inginkan datang pada masa yang serentak..nak dilepaskan satu terasa sayang, untuk direbut ke duanya mungkin terasa tamak…tapi naluri tetap menginginkan ke duanya.
Peluang berlakon walaupun Hang Cangkul dalam filem (memang filem 16mm bukan video!) adalah suatu klimaks yang tak selalu diperolehi. Lainlah kalau aku jadi Woody Allen. Tapi aku tak sedahsyat beliau untuk berlakon dan mengarah serantak. Kalau berlakon aku hanya akan berlakon (gulung kabel pun malas nak layan - kata pelakon..hehehe) dan kalau mengarah aku hanya rasa nak mengarah.
Satu lagi adalah peluang ataupun lebih tepat disebut tanggungjawab menggembirakan orang tua. Peluang untuk menyejukkan hati makbapak hanya boleh dilakukan sementara orang tua ada dan sementara aku ada. Tanggal 16 Disember ni tempat belajar lamaku bakal mengadakan konvo. Mamaku teringin benar melihat aku atas pentas ambik diploma. Aku akur..kalau akulah - tak konvo pun tak pe…tapi …
Bila dah besar-besar sikit ni dah boleh pikir jugak perasaan orang tua. Yelah..rebel tetap rebel (kata suka sosialis!) tapi tak gamak untuk tak penuhi hasrat diorang.
Aku buat masa ni mampu merancang dan berdoa agar boleh konvo dan jadual berlakon dapat dianjakkan ke sedikit belakang dari tarikh yang jatuh di hari konvo. Maka kalau perancangan ni berhasil…perayaan berganda bagi ku.
Tapi yang pening sekarang ni adalah shooting universiti aku aku dgn Beijing Film Academy (tempat Chen Kaige, and Zhang Yimou belajar dulu-dulu) yang dok asyik pinda entah bila nak mula. Dalam produksi ni aku jadi tukang gulung kabel and angkat lampu. Tak kisah, boleh buat network..selamba. Gulung kabel tapi jam kredit = 6. Banyak tu, kalau tak gulung wayar lawa2 alamaknya CGPA jatuh la.
Erm..kenapa korang perlu baca semua ni entahla…mungkin aku nak berkongsi jiwa kacau aku dengan korang dalam medium tulisan.
So kesimpulan, tak ada apa yang boleh tersimpul. Macam karnival kehidupan watak-watak filem Felini. Penghujung yang ambiguiti. Tapi tak salah merancang. Sekurang-kurangnya mengurangkan peratusan ketaktentu haluan hujung pangkal!

Yang penting dalam hidup ni idea dan usaha” – Rozana Cinta 87.

Monday, October 30, 2006

Anjing Demokrasi


Selesai aku parking motor, baruku sedar ada anjing tengah bertugas. Bukan anjing betulpun, RELA aja sebenarnya. Tapi macam biasa, bila individu itu dah ada kuasa sikit, mulalah tak betah untuk tunjuk belang. Buat-buat penting kawal lalu lintas. Kampungku pekan koboi - apa yang nak dikalutkan tentang lalu lintas?
Aku masuk supermarket. Beli barang. Tak ingat apa benda-benda yang aku beli. Tapi ada benda yang aku cari tak jumpa.
Aku hidupkan enjin aja dia mintak tunjuk lesen. Aku matikan enjin. Entah kenapa aku haritu rasa macam nak menjawab. Mungkin angin sebab cari benda tak jumpa agaknya. Dia anjing India. Aku bukan bersifat rasis, kalau dia anjing sebangsa denganku pun persepsi aku terhadap android ini tetap sama.
“Kalau saya ada lesen kenapa dan kalau saya tak ada lesen kenapa?”
Dia memandang aku tak puas hati.
Aku pandang dia balik. Aku keluarkan IC dan lesen. Dia belek lesen aku. Tak ada menda yang tak kena. Di mula membelek motor aku.
Pasti cuba mencari kesalahan biarpun salah aku hanya pada kegatalan aku menjawab sebentar tadi. Kemudian dia berhasil menemukan apa yang dihajatinya. Aku punya cermin sisi ada sebelah aja. Anjing kota KL pun tak saman aku sebab cermin sisi sebelah aja tapi anjing kampung pulak yang saman.
Habis dia karang surat saman, aku ucap terima kasih kepadanya.
Sebelum berlalu aku katakana padanya,”Semoga apa tindakan yang anda lakukan atas dasar kebenaran dan tidak dipengaruhi dasar emosi!”
Dia tengok aku lagi, aku balas lagi, “Selamat jalan!”
*****
Kesan peristiwa tu, aku tak perbaharui cukai jalan hingga kini. Lebih 4 tahun dah. Aku bukannya mat rempit sangat. Motor aku cuma ubahsuai ekzos sikit aja. Itu pun sebab suka akan bunyi-bunyian halwa telinga yang indah. Ekzos standard tak memenuhi estetika gegendang telingaku.
Kenapa aku anti polis? Entah..mungkin sebab meluat tengok imej polis yang terlalu maksum dalam drama siri polis terbitan Yusuf Haslam. Maka salah dia dan tv stesyenlah yang membuaklan aku mual.
Satu lagi sebab prejudis sang polis terhadap sang penunggang motorsikal yang rata-ratanya warga kelas bawah. Polis-polis ni sebenarnya pun sama, tergolong warga kelas bawah gak. Tapi bila pakai unifom, garang dia macam Pendekar Musang Si Guntang aja.
Sampai bilakah agaknya orang yang memiliki kuasa tak akan menyalahgunakan kuasa dia? Terbaru kes wakil parlimen di negeri Selangor. Ha..kan Sultan dah murka. Tapi jangan tunggu hingga sultan tegur aja baru nak sedar. Sebab menda ni amanah. Definasi zalim adalah - tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam kes ni, idea anarki mahupun komunisme pun bagus gak…tapi kita ni dah terlanjur demokrasi berpelembagaan, laksanakanlak sejujur mungkin. Aku yang tak menyediakan bunga emas buat menutup kes mendapat ubat. Itulah harga aku bayar untuk menegakkan demokrasi…anda bagaimana?
*oh ya..gambar di atas aku ciplak dari manatah..tapi bila ciplak dan nyatakan yang aku ciplak rasanya tak salah. Agaknya...

Friday, October 27, 2006

Seputar di Festival Filem Antarabangsa Pusan 14-18 Oktober 2006





Festival jatuh bulan posa lagi. Rongak lagi posa aku. Dah la mula Ramadan dok asyik shooting. Entahlah..
Tahun ni berpeluang dengar master class Istvan Szabor dan Tsai Ming Liang. Tengok Yu Hang duduk sebelah Andy Lau atas pentas utama kat pantai dari jauh (kenapa tak percaya! Pelakon iklan RHB yang juga seorang sutradara).

Jumpa Tan Chui Mui dengan filem baru dia Love Conquers All (2006) (sebelum ni dia buat Hometown (2003) A Tree in Tanjung Malim (2004) Company Mushrooms (2006))
Pasti tak dapat tayang kat major panggung wayang kat Malaysia sebab explicit scene. Adakah filem ini hanya merupakan filem untuk festival…wallahualam sebab aku tak sempat bertanya pada sang pengarah.

Master kelas Tsai Ming Liang best pada aku. Dia berbicara tentang hala tuju perfileman Korea yang kini berkiblatkan Hollywood. So agenda pemasaran filem2 yang sedikit lari dari kerangka mainstream tersasar. Filem2 yang ikut formula genre bakal mendapat tempat di kalangan pelabur. Memandangkan dia ni kuat falsafah, dia gebang sedikit pasal kasut. Begini ceritanya..
Ada seorang sami yang kerap melanggan pembuat kasut (straw shoes..aku pun tak tau ni jenis kasut apa!) yang dalam fasa hidup segan mati tak mahu. Satu hari dia beli kasut ni dan membayar dengan harga yang ekstra - bukannya tips. Maka Si Sabarudin (just homage to P Ramlee) ni pun tanya. ”kenapa bayar lebih?”. Sami yang agaknya sebab kuat sangat berjalan maka kasut dia sering sahaja haus ni menjelaskan bahawa dia kesian tengok Sabarudin ni. Kalau Sabarudin tutup kedai, Sami ni akan mati kutu nak beli kasut kat mana.
Kesimpulan Tsai Ming Liang sarankan agar para produser mengikut jejak si Sami. Tapi Sami ni hati mulia biarpun tak beriman. Sedangkan rata2 produser dahlah tak beriman, tak berhati mulia pula (profit, profit dan profit..tanggungjawab sosial tak pernah terfikir)…..bagai mana agaknya kepada pembuat filem yang kerjanya berlipat ganda susah dan mencabar berbanding pembuat kasut (tak ada niat memperkecilkan para pembuat kasut sedunia – sekadar metafora kasar).

Seleksi filem sempat tonton – Kabul Express - Afganistan, Fantasma – Argentina, I don’t Wanna Sleep Alone – Taiwan, Love Conquer All - Malaysia, Opera Jawa – Indonesia.

Monday, September 04, 2006

Pongang-pongang..(pinjam Pak Shahnon)


Diam tak diam cuti musim panas berakhir...muncul kembali sesi pengajian dalam alpa aktiviti yang tidak begitu produktif (berangan & memeram telur)..Diri kini kembali berhadapan dengan ujian "menarik" iaitu menuntut ilmu dalam bahasa asing di bumi yang tak terpernah kuberhajat untuk kukunjung. Memang aku telah sukses pada tahap 2 dalam bahasa mereka namun itu hanya mampu untuk aku meneruskan rutin seharianku. Tentunya bila mempelajari jurusanku iaitu perfileman, cikgu nantinya takkan bertanya sama ada sudah makan atau belum...hujung minggu kamu buat apa? Nombor telepon kamu berapa? Berapa harga ke semuanya..dll..
Perit tuntut ilmu di peringkat universiti dalam perbendaharaan kata kanak-kanak tadika aku lihat dari sudut seindah mungkin. Ini kerana mengenangkan rezeki tuhan yang memakbulkan cita-citaku untuk belajar di luar negara(aku tidak pernah menetapkan pilihan tempat pengajianku; sekadar bermimpi agar mengembara seketika dari tanahair) biarpun permintaan aku itu tidak dimakbulkan segera. Impian ini berputik atas dasar jaki terhadap kakakku yang belajar di UK. Lebih 10 tahun berlalu, impian itu baru terlaksana setelah jenuh kena tendang dan lompat universiti, ke dua adikku selesai persekolahan, kakakku dah kembali bawa master dan juga telah menikah, ayahku telah pencen dan kekasihku telah bergelar penerbit rancangan hiburan(cuma aku yang tak habis-habis mengaji...).
Derita yang begitu ketara adalah perpisahan dengan buah hati pengarang jantung hanya Allah yang mengerti (mengapa hanya buah hati yang dihighlightkan dan bukannya keluarga?..isk..muda-mudi sekarang ni..!). Ini semua aku lakukan kerna memenuhi tuntutan zaman yang berkehendak sijil, diploma ijazah dan apa-apa kertas senilai dengannya yang menandakan simbol akan pencapaian seseorang itu dalam pengajian. Ternyata aku tak mampu menafikan sistem ini...kerana aku juga mahu dianggap “berguna” biarpun tanpanya hidup masih boleh terus...Mungkin(peratusnya tinggi) tanpa kertas simbolik itu cerita kehidupan akan jauh berbeza dan pastinya dilingkari kesusahan yang mengintai sama ada daripada orang lain ataupun infioriti kompleks sendirian. Mengertilah...aku lakukan ini bukannya kerana aku pentingkan diri sendiri!(...pengorbanan demi perasaan cinta akan sinema.)
Getir rindu, ketidak betah akan makanan(tak serasi dengan tekak sambal belacanku) dan yang terutama, kemelut bahasa; terpaksa aku retorikkan diri sendiri untuk melihat dari sudut sepositif mungkin. Bukankan mengikut teologi Islam, kata-kata itu merupakan suatu doa? Dengan itu aku boleh mengimpikan suatu yang indah dalam saat kemuraman siri sketsa hidupku.
Tapi cakap memang senang Fatimah! (dialog Sayang Salmah kalau tak silap). Untuk merealisasikan kata-kata merupakan perkara yang sama sekali berbeda...seperti Muslimin dan Muslimat yang mampu menjawab dengan konfiden rukun Islam(shadah, sembahyang, puasa, zakat & haji)...tapi berapa ramai yang boleh melaksanakan tuntutan Islam ini dengan penuh tawaduk...(aku tak terkecuali)...
Begitu juga dengan Merdeka...memang mudah untuk melaungkan ungkapan Merdeka! bersama-sama tatkala malam 31 Ogos saban tahun; yang boleh mengakibatkan meremang bulu roma saat tempik laung itu menerjah gegendang telinga...tapi berapa ramai yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan dan telah merdeka sepenuhnya? Bahasa kebangsaan masih di takuk lama...malah semakin jatuh merundum (lihat laman web channel 8...tak ada versi melayu pun..!) ...nilai positif budaya (Melayu, Cina mahupun India) semakin terhakis kerna diasak hebat oleh nilai dan tuntutan hidup yang kononnya moden. Pemimpin masih berterusan menipu rakyat dalam sandiwara pentas politik dan rakyat masih tak sedar yang diri terus menerus dibohongi...tv stesen terus menerus meracuni minda rakyat (Melayu amnya) dengan propaganda kerajaan, sensasi realiti tv dan isu cerita perkahwinan artis yang dibawakan secara langsung ke kaca tv.

Tapi yang pasti esok ada kelas... aku jauh dari tanah air...jauh dari keluarga...jauh dari kekasih - cuma moga-moga tidak jauh mana dari agama dan nilai murni budaya yang diwarisi...dalam kesepian di bumi yang masih tebal eleman fasisme yang dilatari lanskap restoran yang menyajikan babi hampir di mana-mana..bertemankan kimchi dan soju.
p/s - argh..3 bulan lagi sebelum kembali bercuti...(Siti dah mula berisi entah tidak?) Yang..kita bila lagi nak merasa macam Siti - harap jangan jadi nasib Mawi sudahlah...ada rezeki jadila kot ekk, amin..!

Thursday, July 27, 2006

Bulan Merdeka Menjelma Lagi..


Sambutan Hari Kemerdekaan 2006 dengar-dengarnya tidak akan diadakan oleh pejabat kedutaan Malaysia Korea berikutan kehabisan peruntukan kewangan. Ini adalah suatu khabar angin yang pastinya mengecewakan para penagih makanan percuma tanahair di perantauan.
Duta dan penasihat dikatakan berlainan haluan dan ini menjejaskan perlaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan negara yang lebih mundur dari kita (Vietnam, Kemboja, Laos cukuplah sekadar contoh di kalangan negara tetangga) ; mampu meraikan hari terpenting dalam kalender negara masing-masing di hotel-hotel mewah. Bukanlah tujuan di sini untuk membandingkan negara kita dengan negara lain tetapi atas dasar kewarasan akal fikiran perbandingan patut jua dilakukan.
Jika sesebuah negara itu tidak membuka mata dan melihat apa yang dilakukan oleh negara lain, ya hidup masih terus; naman tahap kehidupan negara itu hanyalah di takuk yang sama. Bukankah setiap hari kita bangun daripada tidur dan berharap agar hari yang baru akan lebih baik daripada pada semalamnya. Tapi persoalannya di sini adalah bagaimana jika individu itu terus menerus tidur. Azam, hasrat mahupun masa depan pastilah berjelaga sebab masih belum terjaga..
Pergolakan politik dalaman tidak hanya berlaku di tanah air, malah situasi yang mengecewakan ini turut berlaku di luar negara. Ini adalah sekelumit polemik yang diketahui. Bayangkan betapa banyaknya perkara yang tidak kita ketahui disembunyikan oleh kerajaan pemerintah. Nah pastinya apa yang dipaparkan akan pasti dilihat sebagai anasir subversif yang cuba memecah-belahkan kestabilan politik tanahair. Tetapi rasanya tidak ada salah sekiranya mengejutkan rakan yang sedang lena supaya dapat sama bangun dan melihat pelangi mahupun kilat di hari baru daripada sudut yang berlainan. Sekiranya si polan itu mengantuk dan ingin terus tidur, tidak ada paksaan malah patut kita selimutkan tubuhnya agar selesa tidurnya. Moga-moga mampu berhasil mimpi yang indah2 (mimpi basah, mimpi di patuk ular, mimpi kahwin dgn anak raja), kerana hidup tatkala ini sukar untuk kita membezakan realiti dan fiksi rekaan pemerintah.

p/s - mimpikan berada di tengah keramaian sorak-sorai pagi merdeka di Stadium Merdeka 1957. Syabas untuk individu yang melaksanakan tanggungjawab terhadap negara sepanjang 50 tahun kemerdekaan biar pun ada individu yang dilihat sebagai penentang. Sebabnya. penentang juga memiliki perasaan cinta. Selamat Menyambut Hari Kemedekaan !

Tuesday, July 04, 2006

Warkah sulung..warkah seterusnya...

terima warkah dari sahabat lama...tatkala aku dikelilingi benda, suasana mahupun sahabat baru, nostalgia lama pastinya tetap segar di ingatan. Sebab wujudnya yang baru adalah berkat daripada keberadaan yang lama. Seperti kemungkinan warkah hari esok yang merupakan lanjutan daripada warkah hari ini. Kadang-kala dengan tidak sengaja aku cuba mencari dan mengimpikan yang baru sedangkan yang lama masih dalam kondisi yang sempurna. Agaknya mungkin terpegun akan keindahan yang tak aku sedari telahpun aku miliki. Konklusi mudah sebagai jalan eskapis; aku akan menyimpulkan pepatah klise - kehidupan dunia adalah fana (senang sungguh menuturkan kembali kata2 yang pernah aku pungut di sepanjang lorong usia). Apakah benar aku mengerti akan maksud fana dan menggunakannya di situasi yang bersesuaian. wallahualam..
Warkah tersebut benar-benar menyentap nostalgiaku. Mungkin atas sebab kunjungannya yang sulung buat sekian lamanya; hinggakan aku terasa sedikit lebih berharga. Berbanding kunjungan warkah-warkah seterusnya yang saban hari aku terima (bukannya junk mail porno, yang sesekali buatkan aku Jebatku teruja) yang juga daripada sahabatku...terasa seperti semakin susut nilai estetikanya. Maaf buat insan yang acapkali mengutuskan warkah buatku, biarpun kadang-kala seperti aku tidak menghargai warkah kalian. Aku sebenarnya terpaku dalam kefanaan dan teruskan mengutuskan warkah yang selanjutnya. Biarpun yang selanjutnya bukan lagi bernama yang sulung...warkah selanjutnya daripada kalian tetapku nantikan....namun yang pasti, nilai warkah kalian tetap tidak mampu menyamai keberadaan sebenar nilai diri kalian yang hadir dalam jalur cerita hidupku.

Sunday, June 25, 2006

harapnya panas berlarutan hingga ke petang....


Dalam hidup, kita senantiasa melakukan kerja yang sekerat jalan...tapi bukankah penting untuk memulakan sesuatu biarpun nanti hasilnya hanyalah sekerat jalan; daripada tidak memulakan apa-apa langsung.
Peliknya, tatkala mula; "berahi" membara dan azam meluap-luap tapi semakin hari semakin malap. Tatkala ke "anzalan" berakhir, nafsu menghilang entah ke mana. Sukar untuk mengekalkan ghairah agar abadi. Tapi berahi yang menghilang itu pastinya tidak akan ghaib selamanya, sesekali ia datang jua menjengah. Perasaan "rindu" merupakan derita yang syahdu dan sering membuat kita tak keruan. Argh...perit berbaur nikmat akan sebuah kerinduan. Bagi yang beringat, rindu mampu menyuburkan kelangsungan sebuah kehidupan. Bagi yang alpa..rindu itu ingin sahaja dimatikan rohnya...
Harapnya blog ini mampu hidup terus di hari mendatang biapun nantinya rentak larian tidak sederas mana....dan moga berahiku akan kehidupan akan terus abadi...
p/s - aku tidak pernah menafikan akan kehadiran perasan rindu itu...
long live cinema of loneliness!