Thursday, July 27, 2006

Bulan Merdeka Menjelma Lagi..


Sambutan Hari Kemerdekaan 2006 dengar-dengarnya tidak akan diadakan oleh pejabat kedutaan Malaysia Korea berikutan kehabisan peruntukan kewangan. Ini adalah suatu khabar angin yang pastinya mengecewakan para penagih makanan percuma tanahair di perantauan.
Duta dan penasihat dikatakan berlainan haluan dan ini menjejaskan perlaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan negara yang lebih mundur dari kita (Vietnam, Kemboja, Laos cukuplah sekadar contoh di kalangan negara tetangga) ; mampu meraikan hari terpenting dalam kalender negara masing-masing di hotel-hotel mewah. Bukanlah tujuan di sini untuk membandingkan negara kita dengan negara lain tetapi atas dasar kewarasan akal fikiran perbandingan patut jua dilakukan.
Jika sesebuah negara itu tidak membuka mata dan melihat apa yang dilakukan oleh negara lain, ya hidup masih terus; naman tahap kehidupan negara itu hanyalah di takuk yang sama. Bukankah setiap hari kita bangun daripada tidur dan berharap agar hari yang baru akan lebih baik daripada pada semalamnya. Tapi persoalannya di sini adalah bagaimana jika individu itu terus menerus tidur. Azam, hasrat mahupun masa depan pastilah berjelaga sebab masih belum terjaga..
Pergolakan politik dalaman tidak hanya berlaku di tanah air, malah situasi yang mengecewakan ini turut berlaku di luar negara. Ini adalah sekelumit polemik yang diketahui. Bayangkan betapa banyaknya perkara yang tidak kita ketahui disembunyikan oleh kerajaan pemerintah. Nah pastinya apa yang dipaparkan akan pasti dilihat sebagai anasir subversif yang cuba memecah-belahkan kestabilan politik tanahair. Tetapi rasanya tidak ada salah sekiranya mengejutkan rakan yang sedang lena supaya dapat sama bangun dan melihat pelangi mahupun kilat di hari baru daripada sudut yang berlainan. Sekiranya si polan itu mengantuk dan ingin terus tidur, tidak ada paksaan malah patut kita selimutkan tubuhnya agar selesa tidurnya. Moga-moga mampu berhasil mimpi yang indah2 (mimpi basah, mimpi di patuk ular, mimpi kahwin dgn anak raja), kerana hidup tatkala ini sukar untuk kita membezakan realiti dan fiksi rekaan pemerintah.

p/s - mimpikan berada di tengah keramaian sorak-sorai pagi merdeka di Stadium Merdeka 1957. Syabas untuk individu yang melaksanakan tanggungjawab terhadap negara sepanjang 50 tahun kemerdekaan biar pun ada individu yang dilihat sebagai penentang. Sebabnya. penentang juga memiliki perasaan cinta. Selamat Menyambut Hari Kemedekaan !

Tuesday, July 04, 2006

Warkah sulung..warkah seterusnya...

terima warkah dari sahabat lama...tatkala aku dikelilingi benda, suasana mahupun sahabat baru, nostalgia lama pastinya tetap segar di ingatan. Sebab wujudnya yang baru adalah berkat daripada keberadaan yang lama. Seperti kemungkinan warkah hari esok yang merupakan lanjutan daripada warkah hari ini. Kadang-kala dengan tidak sengaja aku cuba mencari dan mengimpikan yang baru sedangkan yang lama masih dalam kondisi yang sempurna. Agaknya mungkin terpegun akan keindahan yang tak aku sedari telahpun aku miliki. Konklusi mudah sebagai jalan eskapis; aku akan menyimpulkan pepatah klise - kehidupan dunia adalah fana (senang sungguh menuturkan kembali kata2 yang pernah aku pungut di sepanjang lorong usia). Apakah benar aku mengerti akan maksud fana dan menggunakannya di situasi yang bersesuaian. wallahualam..
Warkah tersebut benar-benar menyentap nostalgiaku. Mungkin atas sebab kunjungannya yang sulung buat sekian lamanya; hinggakan aku terasa sedikit lebih berharga. Berbanding kunjungan warkah-warkah seterusnya yang saban hari aku terima (bukannya junk mail porno, yang sesekali buatkan aku Jebatku teruja) yang juga daripada sahabatku...terasa seperti semakin susut nilai estetikanya. Maaf buat insan yang acapkali mengutuskan warkah buatku, biarpun kadang-kala seperti aku tidak menghargai warkah kalian. Aku sebenarnya terpaku dalam kefanaan dan teruskan mengutuskan warkah yang selanjutnya. Biarpun yang selanjutnya bukan lagi bernama yang sulung...warkah selanjutnya daripada kalian tetapku nantikan....namun yang pasti, nilai warkah kalian tetap tidak mampu menyamai keberadaan sebenar nilai diri kalian yang hadir dalam jalur cerita hidupku.

Sunday, June 25, 2006

harapnya panas berlarutan hingga ke petang....


Dalam hidup, kita senantiasa melakukan kerja yang sekerat jalan...tapi bukankah penting untuk memulakan sesuatu biarpun nanti hasilnya hanyalah sekerat jalan; daripada tidak memulakan apa-apa langsung.
Peliknya, tatkala mula; "berahi" membara dan azam meluap-luap tapi semakin hari semakin malap. Tatkala ke "anzalan" berakhir, nafsu menghilang entah ke mana. Sukar untuk mengekalkan ghairah agar abadi. Tapi berahi yang menghilang itu pastinya tidak akan ghaib selamanya, sesekali ia datang jua menjengah. Perasaan "rindu" merupakan derita yang syahdu dan sering membuat kita tak keruan. Argh...perit berbaur nikmat akan sebuah kerinduan. Bagi yang beringat, rindu mampu menyuburkan kelangsungan sebuah kehidupan. Bagi yang alpa..rindu itu ingin sahaja dimatikan rohnya...
Harapnya blog ini mampu hidup terus di hari mendatang biapun nantinya rentak larian tidak sederas mana....dan moga berahiku akan kehidupan akan terus abadi...
p/s - aku tidak pernah menafikan akan kehadiran perasan rindu itu...
long live cinema of loneliness!